Tugasan bendahara Bendahara

Jawatan paling hampir yang seumpama dalam kerajaan Melayu adalah jawatan wazir dalam kerajaan Islam.[1][2] Namun pada abad mutakhir ini, Bendahara boleh disama ertikan makna dan bidang tugasnya sebagai Perdana Menteri.[3] Oleh kerana bendahara mengetuai para bangsawan, status tersebut datang bersama tanggungjawab tertentu. Bendahara merupakan tunjang bagi Kesultanan Melayu. Sejak kerajaan silam Melaka dan Johor, terdapat banyak tugas dan tanggungjawab tetapi yang utama adalah:

  • pertabalan dan perlantikan Sultan
  • bertanggungjawab ke atas kebajikan Sultan.
  • penasihat kepada baginda mengenai hal ehwal negara berdasarkan hukum Sharia dan Adat
  • bertanggungjawab bagi perkahwinan di Raja, kelahiran dan pengkebumian
  • bertanggungjawab bagi pewarisan diRaja sekiranya Sultan meninggal tanpa waris
  • bertindak sebagai penjaga sekiranya Sultan masih kecil
  • menyempurnakan sebarang titah Sultan.

Kesahihan dalam segala tindak tanduk dan arahan yang dikeluarkan oleh Sultan terletak dibahu dan kepintaran Bendahara. Bendahara sentiasa berunding dengan golongan bangsawan lain sebelum membuat sebarang keputusan yang akan dihadapkan kepada Sultan untuk perkenan. Bendahara dan bangsawan lain melakukan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan negara dan amat bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang permasalahan di negara akibat dasar penggubalan undang-undang yang tidak adil dan betul. Tugas bendahara ini adalah lebih meluas berbanding sebarang tugas wazir atau perdana menteri moden.

Penglibatan British dan Belanda dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu dan seterusnya pada era kemerdekaan Malaysia dan Indonesia telah mengurangkan peranan Bendahara kepada sekadar gelaran simbolik sahaja.

Pada zaman moden ini, Bendahara di negeri-negeri Melayu telah ditukarkan kepada bentuk yang lebih khas dan tunggal iaitu sebagai seorang Perdana Menteri. Namun bagi negeri-negeri Melayu, sesetengah pandangan mengatakan ia juga sama peranannya sebagai seorang Ketua Menteri ataupun Menteri Besar. Walaupun tugas Bendahara adalah sama dengan peranan Perdana Menteri, namun kedua-dua terma adalah tidak sama dan berbeza. Satu perbezaan yang jelas ialah jumlah kuasa yang dipegang oleh kedua-dua jawatan. Pada masa dahulu, Bendahara itu biasanya terletak secara rasminya pada kedudukan tertinggi selepas Sultan. Sultan pula merupakan seorang yang berkuasa mutlak bagi memerintah sesebuah negara Melayu itu. Sultan itu tidak bertanggungjawab kepada Bendahara, atau kepada orang lain untuk sesuatu perkara. Dalam erti kata lain Sultan mempunyai suatu nilai kekebalan dalam apa jua perbuatannya sehinggakan undang-undang dan perlembagaan negara pada ketika zaman Melayu lama tidak mampu menandingi kekebalan mutlak Sultan. Sultan pada zaman dahulu tidak terhad kepada kedudukan seperti Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh sementara atau bergiliran.

Berkaitan